Monday, October 28, 2013

Ucapan Yang Pertama Sebagai KP Selayang Baru...

Bukan semua orang berpeluang untuk mendapatkan pengalaman ini. Hanya mereka yang bertuah dan terpilih sahaja yang dapat merasainya. Dan ini jugalah yang akan menjadi pengalaman untuk di masa akan datang.

Bacalah teks ucapan yang saya karangkan untuk berucap di hadapan masyarakat dan ahli-ahli UMNO Cawangan Selayang Baru di Mesyuarat Agung Cawangan Selayang Baru 2013 baru-baru ini.




Bismillahirahmanirahim…

Terima kasih kepada kekanda pengerusi majlis, mantan Ketua Pemuda Umno Cawangan Selayang Baru - Farid Iqbal Omar.

Yang Berbahagia dan disayangi Bonda Pengerusi Tetap UMNO Cawangan Selayang Baru, Hajah Fauziah Abdul Rauf.

Yang Berbahagia, Lagi dikasihi dan disayangi, Ayahanda Ketua UMNO Cawangan Selayang Baru – Tuan Haji Omar Manan

Yang Berbahagia, juga disayangi Ayahanda Tim. Ketua Cawangan – Tuan Haji Abdul Rahim Abdul Karim

Barisan Pegawai dan Ahli Jawatankuasa UMNO Cawangan

Yang Berbahagia, Ketua Wanita UMNO Cawangan, Bonda Hajah Fatimah Bakar dengan barisan ahli jawatankuasa

Yang Berbahagia, Ketua Puteri UMNO Cawangan, Adinda Maiztul Aqma bersama barisan ahli jawatankuasanya

Ahli-ahli Jawatankuasa Pergerakan Pemuda UMNO Selayang Baru

Selamat datang juga kepada wakil-wakil UMNO Bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Gombak

Tidak lupa juga kepada Wakil Pemantau yang akan memantau perjalanan mesyuarat kita pada hari ini.

Ketua-Ketua Cawangan, Wanita, Pemuda Dan Puteri UMNO

Dan yang paling utama, ibu-ibu, bapabapa, kakak-kakak, abang-abang dan adik-adik yang ada di hadapan saya ini yang menjadi tunjang kepada wadah perjuangan UMNO Cawangan Selayang Baru selama ini.

Barisan hadapan kepimpinan UMNO Cawangan Selayang Baru.
Ketua Pemuda yang baru ditabalkan menyampaikan ucapan.
Semoga gandingan ini dapat menghasilkan sesuatu yang positif untuk UMNO Cawangan, khususnya di peringkat pemuda.
BUAH PAUH DI TENGAH BENDANG
JADI DAGANGAN DI TENGAH LAMAN
TUAN PUAN DATANG BERTANDANG
BARISAN AJK ALU-ALUKAN…
 

INDAH BERBALAM SI AWAN PETANG,
BERARAK DI CELAH PEPOHON ARA;
PEMANIS KALAM SELAMAT DATANG,
AWAL BISMILLAH PEMBUKA BICARA…


1. Alhamdulillah, segala puji bagi Tuhan Penguasa Semesta Alam, kerana dengan rahmat dan izin-Nya, sekali lagi kita dapat berkumpul di hari yang penuh keberkatan ini bagi menunaikan kewajipan kita sepertimana yang termaktub dalam Perlembagaan Parti.

KALAU TIDAK POHON BERANGAN
TIDAK PUYUH KE TASIK CHINI
KALAU TIDAK KERANA PERJUANGAN
TIDAK KITA BERKUMPUL DI SINI.


2. Bertepatan dengan suasana Syawal, saya dan seluruh kepimpinan Pemuda Cawangan mengucapkan selamat menyambut Hari Raya dan memohon maaf zahir dan batin kepada semua pihak, sekiranya ada tersilap kata atau terlanjur laku. Atas itu, saya secara peribadinya, sekali lagi menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf atas segala salah dan silap selama ini. Sesungguhnya, inilah peluang dan ketika yang terbaik, untuk kita merapatkan saf, membuang yang keruh dan mengambil yang jernih, serta saling maaf-memaafi bagi kita semua bergerak ke hadapan untuk berbakti pada nusa dan bangsa.

BANYAK MASA ANTARA MASA
TIADA TANDINGAN SAATNYA INI
JARI DISUSUN MAAF DIPINTA
TEGUH IKATAN SEIKHLAS HATI


3. Pada majlis yang penuh mulia ini juga, izinkan saya mewakili seluruh ahli Pergerakan Pemuda, secara rasminya merakamkan ucapan setinggitinggi terima kasih kepada bekas Ketua kita, Kekanda Farid Iqbal, atas jasa dan sumbangan kepada Pergerakkan Pemuda Cawangan selama ini. Beliau juga seorang insan berjiwa besar yang telah menyerahkan tampuk kedudukan kepada generasi baru.

KALAU ADA SI BUNGA RAMPAI
KIRIMKAN SAYA BUAT PENYERI
JASA TUAN TIDAK TERNILAI
SELURUH ALAM MENJADI SAKSI


Tuan-tuan dan puan-puan,

4. Kehadiran anda semua pada hari ini pastinya dengan semangat dan komitmen yang jitu kepada perjuangan parti. Sewajarnya, kita menginsafi bahawa kita, insan yang serba kerdil ini telah diberikan amanah dan tanggungjawab berada di dewan yang mulia ini. Hadirnya jasad dan roh kita bukan atas nama individu dengan kepentingan diri sendiri. Hadirnya kita di sini adalah bernawaitukan kepada Allah SWT, bagi mendukung dan memperkasakan institusi UMNO.

Tuan-tuan dan puan-puan,

5. Kita sebenarnya berada di persimpangan jalan yang cukup penting dalam perjuangan UMNO. Pilihan yang kita ambil akan menentukan jatuh bangun parti menjelang cabaran paling besar dalam sejarah kita. Pilihanraya Umum ke-14 (PRU-14) adalah pertarungan survival bagi UMNO dan Barisan Nasional. Pakatan Pembangkang akan cuba memberi pukulan maut kepada kita setelah berjaya menafikan majoriti dua pertiga di Parlimen pada pilihanraya yang lepas. UMNO dan BN hanya ada tiga tahun untuk membuktikan kepada rakyat bahawa kita masih merupakan pemimpin dan pentadbir yang terbaik untuk negara… yang mampu memenuhi aspirasi rakyat.

6. Cabaran sekarang memerlukan kebijaksanaan untuk kita mengurus persekitaran politik yang jauh berbeza daripada kebiasaan sebelum ini. Kita berhadapan dengan pengundi yang lebih berpendidikan dan terdedah kepada dunia. Mereka lebih mudah membuat perbandingan akan tahap pencapaian dan amalan politik di Malaysia dengan negara-negara lain. Ramai daripada kumpulan ini merupakan generasi muda… hampir sembilan juta dari pengundi pada PRU-14 nanti terdiri daripada pengundi muda. Generasi ini tidak boleh dipaksa untuk menyokong kita dengan hujah bahawa mereka patut berterima kasih dan bersyukur kepada UMNO dan BN. Pendekatan tersebut mungkin boleh digunapakai dahulu tetapi bagi generasi muda sekarang mereka mahu tahu apa yang boleh UMNO dan BN laksanakan dan bukan apa yang telah serta pernah dilaksanakan.

7. Yang pasti, lanskap politik tanahair amat berlainan dengan aliran maklumat yang bebas samada melalui media masa atau media baru. Pemodenan negara dengan infrastruktur canggih seperti jalur lebar dan telekomunikasi mudah alih bukan hanya meningkatkan produktiviti ekonomi negara tetapi juga memberi kesan kepada kesedaran dan kematangan politik rakyat.

8. Inilah persekitaran terkini… lebih bebas, terbuka, muda, terdidik dan kosmopolitan. Kaedah berpolitik di abad ke 21 ini menuntut kepada perubahan sepertimana perubahan zaman yang telah berlaku. Persekitaran yang mencabar ini dan masa yang teramat suntuk menuntut kita untuk bergerak sepanjang waktu, tanpa noktah, tanpa rehat kerana survival kita bergantung kepada keputusan PRU-14 nanti.

9. Justeru, saya amat bersetuju dengan pendekatan yang dilakukan, melalui transformasi generasi oleh Ketua Pergerakkan Pemuda UMNO Malaysia, Saudara YB Khairy Jamaluddin, atau lebih dikenali dengan panggilan KJ di kalangan Pemuda UMNO.

10. Apakah yang telah KJ lakukan? KJ telah memperkenalkan Rukun Pemuda sebagai asas kepada transformasi kita. Lima rukun ini, iaitu bersatu, berprinsip, inklusif, relevan dan proaktif, menggariskan satu falsafah kerja yang baru serta meletakkan garis panduan kepada pergerakan kita untuk mencapai matlamat kemenangan sokongan generasi muda.

11. Bersatu bermaksud bahawa asas kekuatan kita adalah perpaduan dan gerak kerja berpasukan, membariskan semua ahli Pemuda dalam saf perjuangan yang kukuh. Berprinsip pula bermakna bahawa Pemuda tetap berpegang teguh kepada perjuangan asas UMNO bagi menegak, mempertahan dan memartabatkan agama, bangsa dan tanah air. Inklusif pula bermakna aktiviti dan program kita menjangkau parti dan merentasi perbezaan agama dan bangsa. Relevan membawa maksud bahawa segala program, medium penyampaian, gaya bahasa dan saluran maklumat hendaklah menepati citarasa golongan yang disasarkan. Akhir sekali, Proaktif merupakan piawaian budaya kerja di mana segala perancangan dan tindakan hendaklah dibuat tanpa menunggu arahan terutama dalam hal ehwal kebajikan rakyat sebelum ia menjadi kronik hingga dieksploitasi oleh pembangkang.

12. Oleh yang demikian, saya dan barisan ajk Pergerakan Pemuda UMNO Cawangan Selayang Baru yang baru ditabalkan, sangat-sangat mengharapkan sokongan dan bantuan daripada semua ahli-ahli UMNO Cawangan ini agar dapat melakukan transformasi ini.

13. Saya merayu, kepada ibu-ibu, bapabapa yang ada di dalam dewan yang mulia ini, daftarkanlah anak-anak yang sudah berumur 18 tahun menjadi ahli UMNO. Bawa mereka ke majlis-majlis UMNO. Kalau pemuda, kenalkan kepada saya, serta barisan ajk yang ada. Kalau wanita, perempuan… pun boleh kenalkan. Tiada masalah. Apabila cukup 21 tahun, tugas ibu-ibu dan bapa bapa juga mengingatkan anak-anak mendaftarkan diri sebagai Daftar Pemilih. Perkara ini yang penting. Kalau setakat jadi ahli UMNO tapi tak boleh pi mengundi pun tiada guna. Cerita politik atas bawah, kiri kanan. Bila kita tanya, “Kau dah daftar ke daftar pemilih?” “Belum.” Jawabnya selamber jer.

14. Saya dan barisan ajk pergerakkan pemuda akan memastikan dua perkara ini akan diuruskan dengan baik dan berjaya. Dengan bantuan dan sokongan daripada ibu-ibu dan bapa-bapa! Pertamanya Penambahan keahlian UMNO Cawangan. Khususnya golongan orangorang muda. Kedua, memastikan semua ahli-ahli UMNO Cawangan yang sudah berumur 21 tahun ke atas telah didaftarkan sebagai Daftar Pemilih. Ini saya akan pastikan.

Hadirin sekalian,

15. Marilah kita barisan sayap, Wanita, Pemuda dan Puteri berdiri teguh di belakang Ketua dan Timbalan Ketua kita, marilah kita bersama-sama mempertahankan Kerajaan kita yang tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas, yang telah mengharungi pelbagai badai gelora bersama namun tetap tidak berganjak dari prinsip asas perjuangan – yang kekal bersama-sama dalam keadaan susah dan senang, yang bekerja keras untuk membangunkan negara, tanpa perlu menabur janji-janji palsu semata-mata untuk menjadi Kerajaan di bumi yang tercinta ini.

BANYAK KELUK KE PENARIK,
KELUK TUMBUH POHON KUINI;
NAN ELOK BAWALAH BALIK,
NAN TAK ELOK TINGGALLAH DI SINI.


BUNGA DEDAP DI ATAS PARA,
ANAK DUSUN PASANG PELITA;
KALAU TERSILAP TUTUR BICARA,
JEMARI DISUSUN MAAF DIPINTA.


16. Sedarlah, kita kini berada di persimpangan perjuangan. Inilah masa dan detiknya, kita – golongan muda bersatu menjadi nakhoda zaman, memacu perjuangan ke arah ketamadunan yang terbilang. Ayuh, bangkitlah, bangkitlah kita semua menyahut cabaran, menerajui harapan, menunaikan tuntutan demi kelangsungan agama, bangsa dan negara.

Hidup UMNO!
Hidup UMNO!
Hidup UMNO!

4 comments:

  1. Tahniah FY...Isi yang mantap dan mempunyai mesej yang baik khususnya kepada generasi muda...Hidup UMNO!

    ReplyDelete
  2. TAHNIAH... BLOG YG TERBAIK... JGN LUPA MASUK AKU PUNYA BLOG.. GENG KAPAL PECAH... BYK INFO2 BG PEMANCING TEGAR... HEEEE

    ReplyDelete
  3. YG PIC LAST TU MCM KENAL YE.... HEEEE

    ReplyDelete